Perjalanan ke hutan
Afrika
Taman Negara Gombe ialah kediaman semula jadi populasi cimpanzi yang paling banyak didokumenkan. Lebih 50 tahun yang lalu, Dr. Jane Goodall memulakan kerja beliau di sini dan warisan penemuan saintifik itu diteruskan hingga ke hari ini. Lihat dengan lebih dekat lagi.
Memahami & melindungi cimpanzi
Tahun penyelidikan
54
JAM PEMERHATIAN
200,000
Sejarah hidup yang lengkap
40
Kami bertemu Glitter dan anaknya, Gossamer, yang digendong di belakangnya
sewaktu bersiar di dalam hutan. Biasanya, ibu cimpanzi mempunyai 4-6 ekor
anak, selang kira-kira 5 tahun antara setiap bayi. Cimpanzi jarang melahirkan
anak kembar meskipun Glitter sendiri merupakan kembar. Cimpanzi muda hidup
bersama-sama ibunya dalam 10 tahun pertama usianya dan selama 3-4 tahun yang
pertama, gemar digendong seperti ini.
Teroka tempat ini
Cimpanzi ini merupakan sebahagian daripada Keluarga G dan mempunyai nama yang
tidak mungkin dapat dilupakan: Google. Nama ini diberikan sempena perkongsian
yang lama terjalin antara JGI dan Google. Cimpanzi ini ialah sebahagian
daripada komuniti cimpanzi Kasakela, iaitu satu daripada tiga komuniti di
Gombe. Meskipun satu komuniti boleh mempunyai lebih 160 cimpanzi, haiwan ini
cenderung menghabiskan masa menyendiri atau dalam kumpulan yang lebih
kecil.
Teroka tempat ini
Cimpanzi menghabiskan masa kira-kira tujuh jam sehari untuk makan dan
selebihnya berehat, bermain dan membersihkan bulu. Haiwan ini amat sosial dan
berkomunikasi seperti manusia: dengan ciuman, pelukan, geletekan dan
berpegangan tangan. Selain itu, haiwan ini turut menjerit dan menghentak kaki
seperti kita! Pada sebelah malamnya, cimpanzi membuat sarang di pokok-pokok
untuk tidur.
Teroka tempat ini
Sehari dalam kehidupan seekor cimpanzi
Bagaimana rasanya hidup di dalam hutan? Bergaul dengan cimpanzi Gombe seperti
Glitter dan Gossamer serta
ketahui tentang tabiat haiwan ini yang
DNAnya 98% seperti manusia.
Temui haiwan yang tinggal di Gombe
Seperti hutan lain, Taman Negara Gombe merupakan suatu
ekosistem unik yang merangkumi haiwan
pelbagai bentuk dan saiz. Kenali jiran tetangganya.
Cimpanzi
Pan troglodytesCimpanzi
Pan troglodytes
Berdiri tegak! Walaupun boleh berdiri menggunakan kaki belakang, cimpanzi merupakan haiwan berkaki empat yang berjalan menggunakan buku jari. Cimpanzi memiliki tangan yang tangkas dan ibu jari bertentangan seperti manusia, namun turut memiliki jari yang panjang dan jari kaki bertentangan yang besar, yang membolehkan cimpanzi ini mencengkam dahan pokok semasa mengumpulkan makanan.
Babun zaitun
Papio anubisBabun zaitun
Papio anubis
Kawan atau lawan? Meskipun anak-anak babun dan cimpanzi bermain bersama-sama semasa kecil, namun apabila semakin dewasa, haiwan-haiwan ini menjadi kurang mesra. Babun sering mencari sumber makanan yang sama seperti cimpanzi, cimpanzi pula akan makan bayi babun. Tidak seperti cimpanzi, babun gemar berenang, meranduk dan bermain permainan dalam air.
Ular Kapak Belukar
Ular AtherisUlar Kapak Belukar
Ular Atheris
Berwaspada semasa berjalan! Dalam belukar anda mungkin terjumpa ular bersisik yang berbisa ini, yang biasa ditemui di hutan Gombe. Cimpanzi berkongsi perasaan kagum dan takut naluriah terhadap ular, sama seperti manusia. Malah cimpanzi mempunyai teriakan khas ('wraa ular') yang memberi amaran kepada cimpanzi lain tentang kehadiran ular di dalam hutan.
Kumbang tahi
ScarabaeoideaKumbang tahi
Scarabaeoidea
Memperkenalkan pengitar semula yang hebat. Kumbang ini menggulung najis menjadi bebola kecil yang kemudiannya ditanam, dijadikan tempat bertelur, bahkan digunakan untuk membina sarang. Serangga ini memainkan peranan penting dalam ekosistem, termasuk menyebar benih dan menyatukan tanah dengan nutrien.
Sepah bulan
SpirostreptidaSepah bulan
Spirostreptida
Banyaknya kaki! Sepah bulan terkenal kerana mempunyai kaki yang banyak, anggota yang membawanya meneroka lantai hutan, membantu mengurai bahan tumbuhan, fungus, haiwan dan serangga yang mereput. Selain itu, kaki artropod ini penting dalam upacara memikat yang rumit.
Taman Negara Gombe merupakan sejalur kawasan terlindung yang terletak di
pinggir barat Tanzania. Sepanjang pesisir Tasik Tanganyika, taman ini
merupakan gabungan padang rumput yang terdedah dengan hutan daun luruh dan
hutan hijau. Di dalam hutan Gombe, terdapat populasi cimpanzi yang paling
lama dikaji di Bumi.
Teroka tempat ini
Cimpanzi ialah haiwan asli hutan Afrika Tengah dan Afrika Barat, termasuk
Tanzania. Haiwan ini tinggal berdekatan dengan pokok kerana makanan utamanya
ialah buah-buahan, meskipun haiwan ini turut menyukai daun, serangga dan
mamalia kecil (termasuk monyet). Di hutan yang penuh dengan cimpanzi, anda
dapat mendengar dengusan dan jeritan panggilan serta sahutan. Bunyi ‘pant-hoot’ ialah panggilan lantang yang digunakan cimpanzi
untuk memperkenalkan diri dan berkomunikasi dengan yang lain.
Teroka tempat ini
Pada tahun 1957, Jane Goodall yang pada ketika itu berusia 23 tahun,
berpindah ke Afrika Timur dari England, negara asal beliau, untuk meneruskan
minat zaman kanak-kanaknya yang mendalam terhadap haiwan Afrika. Beliau
bekerja dengan ahli paleontologi terkenal, Louis Leakey, yang percaya bahawa
kajian primat dapat membuka kunci petunjuk tentang nenek moyang awal manusia.
Semangat Jane yang gemar menempuh cabaran membawa beliau ke hutan Gombe pada
bulan Julai 1960, namun kajian perintis beliau di sini yang mengubah hala
tuju primatologi moden.
Teroka tempat ini
Semasa Jane mula-mula berpindah ke Gombe, beliau tinggal di dalam khemah bersama-sama ibunya, membuat pemerhatian menggunakan binokular terpakai dan menulis nota menggunakan pensel dan kertas. Beliau memerhatikan pergerakan cimpanzi sepanjang hari, mengambil nota tentang tabiat harian serta struktur sosial haiwan ini. Tidak lama selepas itu beliau menyedari bahawa pemerhatian yang dibuat mencabar kebanyakan tanggapan konvensional tentang cimpanzi.
Pada mulanya, cimpanzi malu untuk menghampiri Jane, yang menyukarkan beliau bagi menjalankan penyelidikan. Lama-kelamaan, cimpanzi ini membiasakan diri atau menyesuaikan diri dengan beliau dan Jane dapat memerhatikan haiwan ini dari dekat, malah berinteraksi dengan haiwan ini. Beliau melihat cimpanzi ketawa, bermain, merapikan diri, mencari makanan dan berburu. Selain itu, Jane dapat menyaksikan sendiri keganasan mereka, bahkan mengalami perang cimpanzi. Jane yang tinggal bersama-sama cimpanzi di dalam hutan berupaya mengupas dunia rahsia cimpanzi.
Pada tahun pertama, Jane memerhatikan cimpanzi bernama David Greybeard menggunakan bilah rumput untuk mengeluarkan anai-anai dari lubang-lubang kecil. Haiwan itu menggunakan rumput sebagai alat, sesuatu yang ahli sains percaya adalah unik kepada manusia. Pemerhatian Jane mengubah pemikiran kita tentang perhubungan antara manusia dengan alam haiwan. Sekarang kita sudah mengetahui bahawa cimpanzi merupakan saudara terdekat manusia dengan 98% DNA yang serupa.
Jane merupakan penyelidik haiwan bukan konvensional kerana memberikan nama kepada subjek beliau dan bukannya memberikan nombor kepada haiwan itu. Beliau mewujudkan sistem nama dengan menamakan anak haiwan dengan nama yang bermula dengan huruf yang sama seperti ibunya. Salasilah keluarga ini menunjukkan ahli Keluarga G, yang merupakan sebahagian daripada komuniti besar cimpanzi Kasakela. Google, Glitter dan Gossamer kini dapat ditonton di Street View.
Pada tahun 1977, Institut Jane Goodall telah ditubuhkan untuk menggunakan penyelidikan yang dijalankan di Gombe dan memperluas jangkauan kerja saintifik dan visi kemanusiaan Jane. Misi JGI sekarang sudah jauh melepasi sempadan Gombe, apabila organisasi itu berusaha melindungi 85% cimpanzi dan habitatnya di seluruh Afrika. Mereka turut melibatkan anak muda di seluruh dunia dalam projek pemuliharaan komuniti melalui program Roots & Shoots.
Para saintis di Pusat Penyelidikan Gombe Stream bekerjasama dengan makmal-makmal di seluruh dunia, termasuk Duke University, untuk menyumbang kepada kajian akademik. Para saintis menggunakan penyelidikan di Gombe sebagai data garis dasar untuk membolehkan mereka meramalkan sejauh mana perubahan habitat, struktur sosial dan penyakit berpotensi memberi kesan ke atas populasi cimpanzi. Mengkaji cimpanzi turut memberi petunjuk tentang manusia (mis., kajian tentang SIV dalam cimpanzi Gombe telah menyumbang kepada kajian tentang virus HIV).
JGI turut membuat pelaburan dalam program pemuliharaan komuniti yang memperkasa penduduk tempatan supaya membina mata pencarian yang lestari sambil menggalakkan matlamat pemuliharaan serantau, seperti penghutanan semula dan menamatkan perdagangan daging haiwan liar. Dengan membuat pelaburan dalam kesihatan dan pendidikan serta menawarkan latihan dalam pengurusan sumber, pertanian dan perhutanan, program CCC menggalakkan kesejahteraan ekonomi dan budaya dan dalam masa yang sama melindungi sumber asli.
Melindungi cimpanzi bermaksud melindungi habitatnya dan habitat itu menjangkaui kawasan di luar sempadan taman. JGI menyediakan telefon pintar dan tablet Android yang didayakan GPS kepada penduduk tempatan dan renjer taman di seluruh Afrika. Pengawas hutan ini diperkasa untuk merekodkan dan melaporkan kehadiran hidupan liar dan aktiviti haram manusia pada peranti itu. Kemudian, data itu dimuat naik ke awan, dianalisis menggunakan Google Earth Engine dan dikongsi dengan pembuat keputusan.
Apabila data lapangan yang dilaporkan oleh pengawas hutan digabungkan dengan imejan satelit, ahli sains pemuliharaan dapat memantau kesihatan habitat cimpanzi pada skala besar. Menggunakan teknologi yang inovatif, ahli sains ini dapat merancang, melaksanakan dan mengukur usaha pemuliharaan habitat. JGI berusaha untuk menjadikan usaha pengawasan hutan secara besar-besaran merentas habitat cimpanzi untuk membolehkan pengetahuan setempat diakses secara global.
Dengan ekosistemnya yang unik, populasi cimpanzi yang didokumenkan secara menyeluruh dan dengan lebih 50 tahun penyelidikan, Gombe ialah sebuah makmal hidup. Penemuan yang dibuat di hutan Gombe dapat digunakan untuk ekosistem di seluruh dunia. Sebagai tempat yang mempunyai keindahan semula jadi, habitat hidupan liar yang penting dan hab penyelidikan saintifik, Gombe lain daripada yang lain.
Warisan penyelidikan
di Gombe
Sebelum pemerhatian dibuat oleh Jane di Gombe, manusia ialah satu-satunya makhluk di Bumi yang dipercayai menggunakan alat. Gombe telah menjadi hab penyelidikan sejak itu, dipimpin oleh Institut Jane Goodall yang memberi tumpuan pada cimpanzi, pemuliharaan dan komuniti.
Pesanan daripada Jane Goodall
Apabila saya ke Gombe, saya berazam untuk memerhati dan mempelajari tentang cimpanzi yang menakjubkan ini dan telah menjadikan Gombe habitat mereka. Perkara yang saya pelajari sepanjang beberapa tahun penyelidikan di Gombe telah memberi saya inspirasi dan meningkatkan pengetahuan saya. Saya berharap perjalanan anda melalui tapak web dan imejan Street View ini akan membawa anda merasai sendiri pengembaraan pembelajaran dan penemuan yang serupa.
Sepanjang masa saya di Gombe dan tahun-tahun berikutnya, saya belajar secara langsung tentang betapa pentingnya setiap daripada kita memahami dunia yang kita huni bersama. Hanya apabila kita benar-benar memahami, barulah kita mula mengambil berat dan hanya apabila kita benar-benar mengambil berat, kita akan mengambil tindakan. Inilah cara perubahan berlaku. Inilah cara kita akan membuat perubahan yang kita perlukan untuk hidup dalam keseimbangan dan harmoni di planet yang menjadi rumah kita ini.
—Dr. Jane Goodall, PhD, DBE & Utusan Keamanan PBB
Pengasas, Institut Jane
Goodall
21 Oktober 2014
Teroka
Taman Negara Gombe
Temui antara ratusan spesis yang
tinggal di Gombe sambil anda bersiar-siar melalui denai pantai
dan laluan hutan di Street View.
Ketahui lebih lanjut


