Selama lima puluh tahun, Pusat Angkasa Kennedy NASA di Florida telah menjadi tempat pelancaran generasi teknologi dan penjelajahan angkasa lepas. Ramai penggemar (termasuk diri ini) membesar dengan keinginan untuk melihat pesawat ulang-alik secara dekat dan mengikuti jejak angkasawan. Pada hari ini, kerjasama antara NASA dan Street View membolehkan orang ramai di seluruh dunia membuat perjalanan ke tempat menuju angkasa lepas dan melihat Kennedy berubah menjadi kompleks pelancaran serba guna untuk 50 tahun inovasi angkasa yang akan datang. Sehingga kini, koleksi istimewa terbesar imej Street View adalah pada lokasi ini, dengan sejumlah 6,000 paparan panorama di kemudahan ini yang telah memperluas misi kami untuk mendokumenkan tempat terhebat di dunia.
Dengan klik tetikus, anda dapat meneroka imej dalam talian seperti landas pelancaran pesawat ulang-alik, Bangunan Pemasangan Kenderaan dan Bilik Pencetus Pelancaran #4. Lihat ke bawah dari bahagian atas landasan pelancaran yang besar, dongak ke atas untuk melihat siling Bangunan Pemasangan Kenderaan yang tinggi (lebih tinggi daripada Statue of Liberty) dan lihat dengan lebih dekat lagi enjin utama pesawat, yang cukup berkuasa untuk menghasilkan tujahan 400,000 lb. Meskipun baru-baru ini telah dihentikan penggunaannya, anda masih dapat melihat dengan lebih dekat dan mendapat pengalaman yang mengasyikkan daripada dua Pengorbit Pesawat Ulang-alik—Atlantis dan Endeavour —dengan Street View. Daripada kedudukan ini, sesiapa sahaja dapat merealisasikan impian zaman kanak-kanak untuk menjadi seorang angkasawan.
Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada NASA kerana membolehkan projek ini dilaksanakan dan memberi peluang kepada kami semua untuk mengikut secara digital jejak langkah semua angkasawan perintis, saintis, jurutera dan juruteknik yang menjadikan impian angkasa satu kenyataan.
Baca lagi