Pengembaraan ke dataran Kenya
Rizab Negara Samburu terletak di tebing sungai Ewaso Nyiro di utara Gunung Kenya. Save the Elephants telah mengkaji gajah di kawasan ini selama lebih 20 tahun. Kenali landskap, penghuni dan hidupan liar di Samburu.
Memahami & melindungi gajah
Gajah yang Dikenal Pasti Secara Individu
1,450
Pemerhatian Lapangan yang Direkodkan
20,655
Jumlah Jam Penjejakan GPS
845,000
Ini Pilipili daripada keluarga Spices dan nama itu bermaksud “cili merah” dalam bahasa Swahili. Keluarga gajah diberikan nama yang bertema (mis., The Royals) dan setiap ahli keluarga akan dinamakan mengikut tema tersebut (mis., Elizabeth, Henry, Noor). Anak gajah dikenal pasti melalui kod berangka berdasarkan tarikh lahir ibu gajah dan tarikh lahir anak gajah itu. Di belakang Pilipili itu ialah anaknya yang berusia 5 tahun dan diberikan kod M63.9410. Terokai tempat ini.
Gajah jantan berusia 16 tahun ini ialah anak Ebony, ibu kepada keluarga Hardwoods yang telah diburu secara haram pada tahun 2011. Anda dapat mengenal pasti identiti gajah jantan berdasarkan kepala yang lebih bulat dan tubuh yang lebih besar. Apabila gajah jantan telah dewasa, gajah itu akan beralih ke kawasan gajah jantan, memisahkan diri daripada keluarga masing-masing dan menghabiskan lebih banyak masa bersama gajah jantan lain atau mencari pasangan. Pada sekitar usia 30 tahun, gajah jantan akan mula kerap naik minyak dan ini meningkatkan peluang gajah itu untuk membiak. Terokai tempat ini.
Gajah ialah haiwan yang sangat suka bersosial dan meluangkan banyak masa bersama keluarga masing-masing dan keluarga gajah yang lain. Gajah dapat mengenali beratus-ratus gajah lain. Di sebelah kiri ialah Alto daripada keluarga Clouds bersama anaknya dan di sebelah kanan ialah Habiba daripada keluarga Swahili Ladies (perhatikan kolar GPS Habiba!). Selepas ibu Habiba diburu secara haram, Habiba hidup tanpa induk dan menyertai keluarga Spices sehinggalah mempunyai anak sendiri. Anda boleh lihat anak Habiba di latar belakang, bersama-sama dengan Layla dan anaknya daripada keluarga Swahili Ladies. Terokai tempat ini.
Memperkenalkan keluarga gajah Samburu
Struktur keluarga adalah sangat penting bagi gajah dan pemeliharaan unit keluarga amat mustahak untuk populasi gajah yang subur. Save the Elephants telah mengenal pasti dan memantau lebih 70 keluarga gajah di Samburu. Luangkan masa bersama mereka.
Melindungi gajah di Kenya
Krisis pemburuan haram telah melanda Afrika sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan menyebabkan lebih 100,000 ekor gajah menjadi mangsa antara tahun 2010 hingga tahun 2012. Sekumpulan individu dan organisasi khusus kini sedang bekerjasama melindungi gajah tersebut. Ketahui tentang perjuangan untuk masa depan gajah Afrika.
Pemasangan kolar
Pemasangan kolar
Save the Elephants menggunakan kolar GPS untuk menjejaki gajah di hutan belantara. Pemantauan gajah membolehkan organisasi tersebut menjejaki corak pergerakan, memperhatikan perubahan tingkah laku dan mengurus keselamatan setiap ekor gajah. STE telah memasang kolar pada sejumlah 226 ekor gajah di seluruh Afrika.
Pemantauan
Pemantauan
Pemantauan gajah dilakukan di darat, dari angkasa dan melalui penjejakan GPS. Penyelidik menghabiskan masa berjam-jam untuk mencatatkan nota terperinci tentang tingkah laku dan pergerakan gajah. Sementara itu, di tempat seperti Kawasan Pemuliharaan Hidupan Liar Lewa, data daripada gajah berkolar ditindankan pada Google Earth untuk menjejaki gajah dalam hampir masa nyata.
Rondaan
Rondaan
Usaha untuk melindungi masa depan gajah kini merupakan seolah-olah satu peperangan merentas benua Afrika. Anjing pemburu terlatih digunakan untuk menjejaki pemburu haram di seluruh kawasan belukar di Samburu. Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya, renjer Kawasan Simpanan Negara Samburu dan kawasan pemuliharaan komuniti Northern Rangelands Trust telah bekerjasama memerangi pemburu haram. Kerjasama ini telah mencatatkan kejayaan sehinggakan pada tahun 2014, jumlah kelahiran gajah telah mengatasi jumlah kematian buat pertama kalinya sejak krisis ini bermula enam tahun sebelum itu. Namun, perjuangan ini masih lagi berterusan di tempat lain di Afrika.
Pemulihan
Pemulihan
David Sheldrick Wildlife Trust berusaha melindungi hidupan liar di Afrika yang terancam, termasuk gajah. Badan amanah itu berperanan memulihkan gajah yang tercedera dan tanpa induk melalui Projek Anak Gajah Tanpa Induk di Nairobi sebelum gajah itu dilepaskan semula ke hutan belantara. Anak gajah dijaga selama 24 jam sehari oleh penjaga, yang membantu anak gajah itu bergaul dengan baik dan meningkatkan peluang untuk terus hidup apabila dilepaskan kembali ke habitat mereka.
Perancangan
Perancangan
Gajah Samburu bergerak di seluruh landskap dan pergi dari satu kawasan ke kawasan yang lain melalui genting sempit yang dikenali sebagai ‘koridor.’ Perjalanan gajah itu melalui koridor ini sering diancam oleh pertembungan dengan manusia dan kenderaan. Berilhamkan data GPS daripada Save the Elephants, Mount Kenya Trust telah berjaya mendapatkan tanah dan dana untuk membina jalan bawah agar gajah dapat melepasi lebuh raya ini dengan selamat.
Kawasan Simpanan Negara Samburu adalah kawasan yang dilindungi di Kenya Utara yang jaraknya kira-kira 6 jam pemanduan dari ibu negara, Nairobi. Topografi di kawasan simpanan ini diliputi oleh hutan pinggir sungai yang subur, kawasan savana yang kering dan terbuka serta gunung yang berceranggah. Sungai Ewaso Nyiro pula mengalir melalui sempadan Selatan kawasan simpanan tersebut dan merupakan nadi yang membekalkan air untuk penghuni, tumbuhan dan haiwan di kawasan itu.
Samburu adalah kawasan yang berkepadatan tinggi untuk hidupan liar dan memiliki landskap savana yang kering dan panas, muka bumi yang berceranggah dan sungai yang berhampiran. Bulan Februari dan Mac merupakan bulan paling panas yang disusuli dengan dua musim hujan sepanjang tahun. Landskap yang gersang ini dihiasi kawasan palma gumuk dan anda dapat melihat garis bentuk banjaran gunung Koitogor dan Ololokwe dari kejauhan.
Pelawat datang ke Samburu untuk melihat gajah serta harimau bintang, singa, zirafah dan lebih 450 spesies burung. Kuda belang Grevy yang majoritinya hanya terdapat di kawasan ini, boleh dikenali melalui belang yang halus, telinga yang bulat dan besar serta tubuh yang besar. Sewaktu pemanduan untuk melihat hidupan liar, anda mungkin dapat melihat burung unta Somali, buaya Sungai Nil dan kawanan oriks yang besar dan kesemuanya telah menyesuaikan diri dengan kehidupan di gurun serta persekitaran yang panas seperti ini. Terokai tempat ini.
Samburu terkenal kerana memiliki salah satu populasi gajah yang paling banyak dikaji di dunia. Kesan daripada penyelidikan selama 20 tahun, gajah tempatan kini sangat jinak dan berani menghampiri kenderaan, terutamanya trak penyelidikan Save the Elephants. Gajah memiliki ingatan ruang yang luar biasa dan mengetahui sempadan Kawasan Simpanan Samburu serta mempamerkan tingkah laku yang jelas lebih tenang apabila berada dalam persekitaran yang dilindungi. Terokai tempat ini.
Gajah memainkan peranan yang penting sebagai jurutera landskap dalam persekitaran ini. Gajah membantu penyebaran biji benih dengan memakan buah daripada pokok dan kemudian menyebarkan biji benih itu melalui najisnya. Gajah mengoyakkan kulit kayu daripada pokok serta memijak tumbuh-tumbuhan dan ini menyebabkan berlakunya pertumbuhan semula yang diperlukan dan menghasilkan tapak pembenihan yang tertanam lebih dalam. Pada musim kemarau, gajah akan menggali lubang untuk mencari air yang kemudiannya dapat dimanfaatkan oleh haiwan lain. Sememangnya tingkah laku gajah mempunyai kesan yang mendalam terhadap landskap.
Save the Elephants yang diasaskan pada tahun 1993 adalah dikhususkan untuk melindungi masa depan gajah dan mengekalkan keutuhan ekologi tempat yang didiami oleh gajah. STE yang berpangkalan di Nairobi, memainkan peranannya di seluruh Afrika untuk memahami dan melindungi gajah. Kem penyelidikan utama STE terletak di Samburu yang merupakan tempat badan amal itu memantau gajah melalui darat, udara dan penjejakan GPS. STE menumpukan pada penyelidikan sebagai asas bagi perancangan dan keputusan penggubalan dasar serta usaha untuk memperbaiki hubungan antara manusia dan gajah. Terokai tempat ini.
Pada sekitar 1960-an, ahli biologi, Iain Douglas-Hamilton telah memulakan kajian tingkah laku gajah liar yang pertama di Tanzania dengan menggunakan pesawat ringan untuk menjejak dan menghitung jumlah gajah tersebut. Pada tahun 1993, beliau telah menubuhkan Save the Elephants dan kemudian memilih sejumlah gajah Samburu yang jinak dan tidak takut kepada manusia sebagai subjek bagi kajian jangka panjang ke atas gajah yang baharu. Kajian yang dijalankan di Samburu telah menimbulkan kesedaran di seluruh dunia mengenai ancaman terhadap gajah dan menghasilkan penyelesaian untuk menjamin masa depan spesies tersebut.
Selain melakukan tinjauan udara, Save the Elephants juga memantau gajah secara berasingan dengan menggunakan kolar GPS. Gajah yang dilalikan akan dipasang dengan kolar pada bahagian tengkuk oleh doktor haiwan bagi tujuan menjejaki lokasi gajah itu. Data ini membantu penyelidik memahami cara haiwan ini bergerak di landskap dan mengikuti kehidupan gajah tertentu. Save the Elephants juga dapat menerima amaran tiada pergerakan secara automatik apabila seseekor gajah berhenti bergerak, dengan menganalisis data GPS. Setakat ini, STE telah memasang kolar pada sejumlah 226 ekor gajah di seluruh Afrika.
Save the Elephants mengumpulkan amaun data yang besar daripada kolar GPS gajah namun badan amal itu memerlukan cara untuk menggambarkan data tersebut. Pada tahun 2006, STE mula menindankan data pemasangan kolar pada landskap digital Google Earth yang beraneka dan tindakan ini menghasilkan penjejakan pergerakan gajah yang lebih baik. Kini, STE menggunakan kuasa pengkomputeran Enjin Google Earth untuk menganalisis lebih lima juta lokasi direkodkan yang diambil daripada 266 ekor gajah selama lebih 17 tahun.
Gajah bergerak di seluruh landskap dan sering bertembung dengan jalan, rumah, ladang dan manusia. Konflik antara manusia dan gajah adalah satu isu yang serius dalam aspek perlindungan gajah dan satu cara untuk memastikan keselamatan gajah adalah dengan menyediakan laluan yang selamat. Berilhamkan data penjejakan gajah, jalan bawah ini telah dibina untuk membolehkan gajah menavigasi dengan selamat di bawah lebuh raya yang sibuk ini. Terokai tempat ini.
Pemburuan haram ialah ancaman yang paling serius terhadap kemandirian gajah Afrika. Gajah dibunuh untuk mendapatkan gadingnya yang akan dijual di seluruh dunia. Pembunuhan gajah yang lebih tua mempunyai kesan yang amat buruk terhadap struktur keluarga gajah dan menyebabkan banyak anak gajah kehilangan induk. Membanteras pemburuan haram bukan saja memerlukan hukuman yang berat untuk menghalang pemburu haram malah akan mengurangkan permintaan daripada pengguna terhadap barangan berasaskan gading.
Kematian gajah merupakan kehilangan warisan bagi penduduk Samburu. Pemburuan haram mengakibatkan ketidakstabilan pada kehidupan penduduk yang hidup di samping kawanan gajah tersebut manakala pemburu haram terus berkeliaran memburu gading gajah. Badan amal Northern Rangelands Trust kini giat melibatkan penduduk tempatan dalam usaha pemuliharaan, menukarkan tanah menjadi kawasan pemuliharaan dan mewujudkan peluang ekonomi melalui pelancongan bagi menyerlahkan lagi manfaat di sebalik kewujudan gajah di Samburu.
Kumpulan renjer ini berada di barisan hadapan dalam memerangi pemburuan haram dan mempertaruhkan nyawa masing-masing untuk melindungi gajah Kenya. Mereka menerima maklumat daripada penduduk dan organisasi tempatan dan kemudian akan membuat pemeriksaan di landskap dengan bantuan anjing terlatih untuk mengesan aktiviti haram. Hasil usaha Kawasan Pemuliharaan Hidupan Liar Lewa yang telah memenangi anugerah dan Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya telah membantu mengurangkan bilangan gajah yang diburu secara haram di Kenya Utara kepada kurang daripada 1% daripada keseluruhan populasi dan ini merupakan satu kemenangan besar bagi perjuangan yang sukar untuk melindungi gajah.
Apabila gajah menjadi mangsa pemburuan haram, apakah yang terjadi kepada anaknya? David Sheldrick Wildlife Trust yang diasaskan pada tahun 1977, menyediakan bantuan kepada haiwan yang memerlukan, termasuklah haiwan tanpa induk. Penjaga di pusat jagaan gajah tanpa induk di Nairobi memberi makan dan membantu gajah bersenam serta memastikan gajah itu dapat bergaul dengan baik bersama kawanan gajah tanpa induk yang lain. Jenis penjagaan sebegini adalah penting untuk membesarkan gajah yang sihat dan kemudian dapat diperkenalkan semula kepada habitat asalnya. Badan amal Sheldrick Trust telah membesarkan lebih daripada 180 ekor anak gajah dengan cara ini. Terokai tempat ini.
Pada tahun 2012, STE telah meminta agar Trekker Street View dibawa ke Samburu untuk mengabadikan gajah di hutan belantara dalam imejan panorama 360 darjah. Bukan semua orang dapat melawati Samburu, tetapi kini semua orang berpeluang ke safari dalam talian untuk melihat gajah ini. Para penyelidik dan penaung berharap pengguna akan merasa lebih terkesan dengan pemuliharaan gajah dan lebih teruja untuk melibatkan diri dalam membantu menyelamatkan masa depan gajah apabila didedahkan dengan kehidupan gajah secara dalam talian.
Menyelamatkan gajah di Samburu
Legenda di Samburu menyatakan bahawa manusia dan gajah datang daripada keturunan yang sama. Barangkali ada benarnya kerana sejak 20 tahun yang lalu, tempat ini telah menjadi pangkalan utama bagi badan amal Save the Elephants. Lihat bagaimana penyelidikan yang didorong oleh data STE telah mengubah pemuliharaan spesies gajah sama sekali.
Mesej daripada
Iain Douglas-Hamilton
Saya telah menceburi bidang yang menakjubkan ini 50 tahun yang lalu semasa mula mengkaji mengenai gajah di Tasik Manyara, Tanzania. Saya benar-benar tertawan dengan haiwan yang mengagumkan ini dan juga pelbagai landskap hebat yang didiaminya -- yang meliputi hutan tebal, dataran yang luas terbentang, sungai yang berliku, tasik, gunung berapi dan aliran lava yang tandus dan suram, dari belukar hinggalah ke gurun dan juga gunung yang menjulang tinggi.
Samburu memiliki kesemuanya itu dan cukup bernilai bagi saya kerana inilah kampung halaman. Saya berasa tidak sabar hendak berkongsi tempat yang saya sayangi ini di Street View dan mengajak semua orang di mana-mana sahaja untuk turut sama menerokai alam kehidupan gajah melalui pengembaraan secara digital. Kami berharap agar pengalaman menerokai kawasan ini pada Peta Google dan Google Earth dapat memberikan anda kefahaman yang mendalam mengenai kehidupan gajah dan kemudiannya diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan yang bermakna bagi membantu haiwan tersebut.
Gajah dan banyak lagi hidupan liar memerlukan bantuan kita. Kita mesti mengekalkan keindahan alam semula jadi dalam kehidupan kita. Kami membawakan gajah Samburu ke dalam talian supaya orang ramai dapat "bertemu" dengan gajah itu, menikmati keindahan habitat gajah dan menyedari bahawa tindakan segera perlu diambil bagi melindungi haiwan tersebut. Kita akan dapat melakukan lebih lagi bagi membantu hidupan di alam semula jadi untuk terus hidup dan membiak di planet kita ini apabila kita lebih memahami tentang hidupan tersebut. Sertai kami dalam usaha untuk melindungi gajah Afrika.
—Iain Douglas-Hamilton, PhD, CBE
Pengasas, Save the
Elephants
15 September 2015
Luangkan masa bersama Save the Elephants
STE adalah salah satu daripada organisasi penyelidikan gajah yang utama di dunia yang melakukan pelbagai inisiatif seperti tinjauan udara sehinggalah kepada pemasangan kolar GPS. Temui kumpulan ahli sains dan penaung yang bekerja keras dan menumpukan kehidupan mereka untuk mewujudkan masa depan yang lebih selamat bagi gajah.
Ketahui lebih lanjut

Save the Elephants ditubuhkan khusus untuk menjamin masa depan gajah, mengekalkan
keutuhan ekologi habitat gajah, mempromosikan kepesonaan manusia terhadap
kecerdikan gajah dan kepelbagaian dunia gajah serta memupuk hubungan yang
bertoleransi antara kedua-dua spesies.
savetheelephants.org

David Sheldrick Wildlife Trust telah ditubuhkan ekoran daripada hasrat sebuah keluarga untuk melindungi Kenya dan hutan belantaranya dan hari ini merupakan program menyelamat dan memulihkan anak gajah tanpa induk yang paling berjaya di dunia. Tabung amanah ini adalah sebuah organisasi pemuliharaan perintis bagi perlindungan hidupan liar dan habitat di Afrika Timur. sheldrickwildlifetrust.org

Kawasan Pemuliharaan Hidupan Liar Lewa merupakan pemangkin dan model yang telah menerima anugerah bagi pemuliharaan komuniti, Tapak Warisan Dunia UNESCO dan ditampilkan dalam Senarai Hijau Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi bagi kawasan perlindungan yang berjaya. Lewa ialah nadi bagi pemuliharaan hidupan liar, pembangunan yang mampan dan pelancongan yang bertanggungjawab di Kenya utara. lewa.org

Wilayah Samburu telah didiami sejak zaman manusia yang terawal dan pihak kerajaan tempatan memberikan tumpuan khusus untuk meningkatkan kebajikan penduduk, haiwan dan bentuk muka bumi di wilayah ini. Kerajaan Samburu komited untuk meningkatkan kemudahan dan keselamatan di wilayah itu menerusi projek yang menumpukan aspek ekonomi, infrastruktur, pendidikan dan perlindungan hidupan liar. samburu.go.ke

KWS ditubuhkan khusus untuk menyelamatkan spesies dan tempat yang penting dan
terancam di bumi demi kemanusiaan. KWS berusaha untuk memulihara, mengurus dan
mempertingkatkan hidupan liar dan habitatnya di Kenya secara mampan serta
menyediakan pelbagai kegunaan awam menerusi kerjasama dengan pihak berkepentingan
demi generasi akan datang
kws.go.ke

Google Earth Outreach ialah sebuah program dengan tujuan khusus untuk membantu organisasi bukan untung dan organisasi awam di seluruh dunia memanfaatkan kuasa Google Earth dan Peta untuk menjelaskan dan menyokong kerja-kerja penting yang mereka lakukan. Projek Earth Outreach memberi tumpuan kepada alam sekitar, pelestarian budaya, kerja kemanusiaan dan banyak lagi. google.com/earth/outreach